Monday, June 17, 2013

PENDIDIKAN DI UNIVERSITI UNTUK MELAHIRKAN SISWA BAGAIMANA ?

Universiti bukan tempat lahirkan robot

Zakaria Abdul Majid,
Saya tertarik dengan komen Datuk Mokhzani Mahathir yang menyelar graduan yang enggan mengotorkan tangan dan lebih suka kerja di pejabat.

Memang diakui ramai kalangan graduan yang bersikap demikian. Saya melihat perkara ini berlaku akibat doktrin pengajian di pusat pengajian tinggi yang membentuk pemikiran sehingga menjadi begitu. Bahkan tidak dinafikan bahawa sebahagian masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu yang berpesan kepada anaknya supaya belajar rajin-rajin supaya tidak jadi macam ayah atau. Bekerja di bendang, kebun getah dan sebagainya.

Saya melihat doktrin dan budaya ini perlu ditukar.

Yang utama sekali ialah doktrin pengajian di universiti itu sendiri mestilah mampu membentuk daya fikir pelajarnya agar tidak jumud dan terkokong dengan peperiksaan dan markah semata-mata. Kita tidak mahu adanya graduan yang lulus cemerlang mendapat kelas pertama tetapi langsung tidak mampu mengendalikan mesyuarat.

Selain itu, teringat saya suatu masa dahulu, sebuah universiti mewajibkan setiap pelajarnya berpakaian lengkap memakai tali leher, berbaju kemeja untuk ke kelas. Seluar jeans dilarang sama sekali. Selepas empat tahun didoktrin sedemikian rupa, adakah kita fikir mereka mahu turun ke sawah? Sudah tentu agak sukar.

Universiti bukan tempat melahirkan robot. Sistem penilaian wajar dikaji dan dirombak agar tidak hanya menilai kejayaan di bilik peperiksaan. Sebagai contoh, kegiatan kokurikulum memainkan peranan dalam membentuk sikap, jati diri, pengalaman luar kelas, pergaulan dan keyakinan diri. Antara contoh kegiatan kokurikulm di universiti yang bagus ialah Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan Sukarelawan Polis (Suksis).

Saya mencadangkan juga kegiatan kokurikulum ini mempunyai 30 peratus - 40 peratus dalam penilaian mahasiswa untuk layak mendapat kelas pertama.

Selain itu sistem peperiksaan yang ada pada hari ini perlu dikaji semula, agar tidak terlalu mengongkong pelajar sehingga tidak dapat berfikir, berhujah, dan bergerak menggunakan akal. Berikan mereka sedikit ruang untuk mereka merasai keseronokan belajar dan menimba ilmu, bukan hanya menghafal untuk lulus periksa.

Di samping itu, para menteri, korporat dan golongan yang seangkatan dengannya, jangan hanya pandai mengkritik para graduan ini. Sedangkan pada masa yang sama mereka sendiri tidak sanggup melakukan apa-apa yang dikritik – sebab mereka ini dibesarkan dalam suasana tidak pernah merasai kesusahan orang lain. Sekali-sekala cuba letakkan diri anda ditempat graduan tersebut!

No comments:

Post a Comment