Wednesday, May 22, 2013

KIT SIANG BIDAS KPN MULAKAN TUGAS DENGAN TINDAKAN BERMOTIF POLITIK SIA-SIA

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pihak polis didakwa telah menyiasat pengasas DAP Dr. Chen Man Hin, di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung tuduhan menggunakan istilah "Malaysian Spring" dalam e-mel peribadinya tahun lepas kerana mempunyai hubungan dengan konspirasi untuk menggulingkan kerajaan secara haram dan ganas, kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu kecewa dengan tindakan pihak polis itu menegaskan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seharusnya mengutamakan kepentingan negara dalam membanteras jenayah dan meningkatkan kepercayaan rakyat berhubung pencegahan jenayah, dan bukannya hanya "bermain politik untuk memuaskan nafsu tuan politiknya".

Bagi menyokong kenyataannya itu Kit Siang (gambar) turut mengeluarkan contoh, akibat tindakan polis menyiasat perkara yang "tidak perlu', kediaman kakak kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik kepada Ketua Polis Negara sendiri telah dipecah masuk penjenayah.

"Saya baru dimaklumkan yang dua pegawai polis telah menyoal siasat penasihat parti dan pengasas DAP Dr. Chen Man Hin selama satu jam 15 minit di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab bahawa istilah "Malaysian Spring" yang digunakan oleh Dr. Chen di dalam e-mel peribadinya tahun lepas mempunyai hubungan dengan konspirasi untuk menggulingkan kerajaan secara haram dan ganas.

"Ini tidak masuk akal dan betul-betul satu pembaziran sumber, tenaga dan masa pihak polis sedangkan ada lebih banyak perkara penting untuk dilakukan pihak polis, seperti memastikan Malaysia bebas daripada jenayah," tegas ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Beliau juga turut berkata, Khalid seharusnya dikecam kerana tindakan berkenaan yang mana beliau seharusnya fokus kepada tugas pertamanya iaitu membuatkan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur selamat daripada jenayah dan kebimbangan menjadi mangsa jenayah.

"Dengan keadaan jenayah yang begitu berleluasa, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk polis membuang masa dan sumber untuk satu pemburuan sia-sia hanya kerana ada ahli politik yang menyeleweng dan tidak bertanggungjawab membuat tuduhan palsu akan tetapi tidak mempunyai prinsip dan keberanian untuk membuat laporan polis," kata Lim.

Lim turut menegaskan adakah pihak polis bersedia untuk mendakwa mereka yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan polis memburu sesuatu yang sia-sia, membazir masa dan sumber awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi jelasnya mungkin boleh berlagak bahawa siasatan polis terhadap Dr. Chen adalah bukti betapa dia serius bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Dia teramatlah salah, kerana itu hanya membuktikan Malaysia telah mendapat orang yang salah untuk menjadi Menteri Dalam Negeri yang tidak tahu apa keutamaan yang sepatutnya."

No comments:

Post a Comment